Pekerja didenda minum kencing dan makan lipas. FOTO Agensi
Reuters

BEIJING: Rambut sama hitam, hati lain-lain. Mungkin pepatah itu perlu diubah kepada di mana-mana pun ada majikan tetapi hukuman berbeza.

Ini berdasarkan pengalaman pekerja di sebuah syarikat hiasan dalaman dihukum minum air kencing, makan lipas serta dilibas dengan tali pinggang kerana gagal menyiapkan tugasan.

Ada juga kes pekerja diarah membotakkan kepala, minum air tandas serta gaji dilewatkan sebulan, menurut kepada imej dan video media sosial China yang dirujuk media rasmi.

Hukuman itu dilakukan secara terbuka dengan disaksikan kakitangan lain, lapor media rasmi yang turut memetik pekerja yang berhenti kerja dari syarikat itu di wilayah Guizhou, barat daya China.

Selain itu, pekerja yang terlupa memakai kasut kulit ketika bekerja atau tidak memakai pakaian rasmi akan dikenakan denda 50 yuan (RM30).

Malah, pekerja yang melakukan kesalahan dari segi peri laku turut dikenakan tindakan iaitu perbuatan mereka dicatat.

Bagaimanapun, kebanyakan pekerja syarikat itu meneruskan kerja sekalipun menghadapi tindakan seperti itu yang dimulakan tahun ini, kata media rasmi.

Tidak cukup dengan tindakan ke atas pekerja biasa, tiga pengurus pula ditahan lima hingga 10 hari selepas dituduh melakukan penghinaan ke atas orang lain.

Semua ini dilaporkan mengikut catatan di laman media sosial oleh biro keselamatan awam tempatan.

Keadaan kerja buruh di China sering dikatakan aktivis sebagai ketat dan teruk kerana mereka menerima gaji rendah, terpaksa bekerja melebihi tempoh selain tinggal dalam penginapan sempit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 4:48 PM