PRITZKER - AP
Agensi

Springfield: Pewaris rangkaian hotel Hyatt menjadi gabenor paling kaya dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) apabila menewaskan penyandang jawatan itu dari parti Republikan di Illinois.

J B Pritzker, 53, dari Demokrat menewaskan Gabenor Illinois, Bruce Rauner selepas pengundian ditutup kelmarin.

Mail Online melaporkan, Rauner yang memegang jawatan itu selama sepenggal, mengisytiharkan kekalahannya sejam selepas pengundian ditutup.

Dia yang juga seorang jutawan memberitahu, dia menghubungi Pritzker untuk mengucapkan tahniah dan berkata, “Saya berharap dan berdoa kamu berkhidmat kepada Illinois dengan baik,”.

Pritzker yang kekayaannya dianggarkan AS$3.5 bilion (RM14.59 bilion) dilaporkan membelanjakan AS$171.5 juta (RM715 juta) wangnya sendiri untuk menampung kempennya.

Akhbar Chicago Tribune melaporkan, Pritzker membayar iklan di televisyen dan di Internet untuk menyerang Rauner serta meningkatkan imejnya.

Nama keluarga Pritzker terkenal di Chicago di mana ia diabadikan di dewan di Millennium Park, Sekolah Undang-Undang Universiti Northwestern, Sekolah Perubatan Universiti Chicago, muzium tentera dan zoo.

Pritzker juga dilahirkan di California, selepas bapanya berpindah di situ untuk menguruskan rangkaian hotel Hyatt.

Dia terbabit dengan politik dengan menyertai Demokrat ketika berusia 20an dan berkempen untuk Senator Ted Kennedy untuk pemilihan presiden AS pada 1980 menentang Jimmy Carter.

Pritzker kembali ke Chicago pada 1990-an dan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Northwestern sebelum gagal dalam kempennya untuk dipilih ke Dewan Kongres pada 1998.

Walaupun Barack Obama mempunyai hubungan dengan Illinois sebagai Senator tetapi Pritzker menyokong Hillary Clinton dalam pemilihan presiden untuk parti Demokrat pada 2008.

Selepas kemenangan Obama dalam pilihan raya presiden AS, Pritzker membantu menyatukan hubungannya dengan Hillary dan bekas presiden itu berkempen untuk billionaire itu di Chicago.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 11:42 AM