Ramai wanita mengandung kini menghisap ganja. FOTO REUTERS
Reuters

WASHINGTON: Kajian baharu menemui bukti bahawa semakin ramai ibu mengandung di Amerika Syarikat (AS) mengambil ganja ketika mengandung, walaupun ketika penggunaan tembakau dan minuman keras menurun.

Beberapa kajian lain turut merekodkan peningkatan penggunaan ganja dalam kalangan wanita mengandung bagi setiap peringkat usia dengan wujud bukti lonjakan tinggi dalam kalangan remaja dan belia.

Dalam kajian itu, pasukan penyelidik menganalisis jumlah wanita mengandung yang mengambil minuman keras, tembakau atau ganja dari 2002 hingga 2016.

Keseluruhannya, wanita mengandung yang mengambil ganja meningkat tiga peratus setahun, sepanjang tempoh kajian itu, menurut laporan penyelidik terbabit dalam jurnal JAMA Pediatrics.

Peningkatan hanya direkodkan untuk trimester pertama dan paling ramai dalam kalangan wanita berusia 26 hingga 44 dengan sekurang-kurangnya pendidikan sekolah tinggi.

Dalam tempoh sama, jumlah wanita mengandung yang mengambil minuman keras susut dua peratus setahun dan tembakau susut tiga peratus setahun.

“Kajian ini menunjukkan kejayaan mengurangkan wanita mengandung daripada mengambil tembakau atau minuman keras.

“Bagaimanapun, mesej mengenai kesan buruk pendedahan kepada ganja ketika mengandung terhadap pembangunan janin seolah-olah tidak kesampaian,” kata penulis utama kajian, Arpana Agrawal dari Fakulti Perubatan di Universiti Washington.

Jumlah wanita mengandung menggunakan ganja meningkat dari kurang tiga peratus pada 2002 kepada hampir lima peratus menjelang 2016, menurut kajian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 9:48 PM