TRUMP melambai tangan kepada penyokong ketika kempen terakhirnya untuk pilihan raya pertengahan penggal di Cape Girardeau, Missouri, kelmarin. - Reuters
Agensi

Washington: Hari ini rakyat Amerika Syarikat keluar membuang undi pilihan raya pertengahan penggal yang akan menentukan hala tuju baki dua tahun pentadbiran Presiden Donald Trump.

Semua 435 kerusi Dewan Perwakilan atau Kongres dipertandingkan, selain 35 kerusi Senat dan 39 kerusi gabenor.

Kalah atau menang tidak menyebabkan Trump tersingkir sebagai Presiden, namun kegagalan menguasai kedua-dua dewan, terutama Senat akan membawa masalah kepada presiden itu untuk melaksanakan dasar.

Parti Republikan pimpinan Trump ketika ini menguasai majoriti Senat serta Dewan Perwakilan dan kegagalan terus menguasai kedua-dua dewan atau salah satu akan mewujudkan ketidakseimbangan dasar Amerika selepas ini.

Berdasarkan tinjauan terkini, Demokrat berpeluang mengambil alih Kongres, namun Republikan diramal tetap menguasai Senat.

Bagi Demokrat, pilihan raya pertengahan penggal ini peluang mereka untuk kembali sebagai majoriti kedua-dua dewan bagi menghalang program Trump yang kontroversi.

Bagi Kongres, Demokrat perlu menambah kira-kira 24 kerusi untuk menguasai majoriti dengan 218 kerusi. Laman web statistik, FiveThirtyEight, meramalkan Demokrat mempunyai peluang sehingga 87 peratus untuk menguasai Kongres.

Republikan kini menguasai 51 daripada 100 kerusi Senat dan laman web itu menjangka ia mempunyai 83 peratus peluang untuk mengekalkan majoritinya.

Antara isu yang menarik perhatian pengundi ialah penjagaan kesihatan, ekonomi, pendatang, hak wanita dan pelantikan Hakim Mahkamah Agung.

Isu penjagaan kesihatan bakal menjadi penentu kerusi Senat di beberapa negeri, termasuk Texas yang menampilkan pertembungan Senator Ted Cruz bagi Republikan dengan pencabarnya, Beto O’Rourke.

Menurut firma pemantau iklan pilihan raya Kantar Media/CMAG, Demokrat membelanjakan AS$125 juta (RM520.8 juta) untuk kempen penjagaan kesihatan, manakala Republikan hanya AS$50 juta (RM208.3 juta)

Pilihan raya pertengahan penggal ini juga akan menentukan sama ada tindakan Trump melantik Brett Kavanaugh yang didakwa terbabit dalam serangan seksual pada 1980-an sebagai Hakim Mahkamah Agung, memakan diri atau tidak.

Meskipun Kavanaugh menafikan dakwaan itu, pelantikannya mencetuskan kontroversi dan dijadikan antara isu utama kempen Demokrat.

Kempen anti-pendatang Trump mendapat reaksi berbeza rakyat Amerika dengan separuh tidak bersetuju dengan tindakan kerasnya, termasuk memisahkan anak pendatang dengan ibu bapa mereka di sempadan.

Trump menjadikan pendatang sukar mendapat kad hijau, kebajikan dan bantuan makanan serta perlindungan suaka.

Beberapa tinjauan menunjukkan majoriti rakyat Amerika lebih yakin dengan Demokrat menangani isu pendatang dengan 58 peratus tidak bersetuju tindakan dasar migran Trump. Tinjauan Reuters menunjukkan 52 peratus tidak menyokong agenda pendatang Trump.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 12:00 PM