VALLES sah menjadi warga negara AS pada usia 106 tahun. FOTO/AFP
AFP

WASHINGTON: Seorang wanita El Salvador berusia 106 tahun, sah menjadi warga negara Amerika Syarikat (AS) semalam ketika isu panas membabitkan pendatang Amerika Tengah dibangkitkan menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS yang berlangsung hari ini.

Terdahulu, Valles Bonilla ditemuramah ejen Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen AS, yang memutuskan beliau memenuhi semua syarat yang perlu untuk menjadi seorang warga negara AS, kata jurucakap.

Maria Valles Bonilla berbangga dikelilingi cucu cicit dan sanak saudara ketika menghadiri upacara angkat sumpah di Washington semalam.

Valles Bonilla berkata, menjadi impian mendiang suaminya untuk bergelar warga AS dan beliau meneruskan usaha itu sebagai penghormatan terakhir buatnya.

Menjelang pilihan raya pertengahan penggal kali ini, Presiden Donald Trump mengetuai kempen besar-besaran mensasarkan pendatang haram yang menuju ke AS dengan harapan mendapatkan suaka politik.

Sementara itu, senator berhaluan kiri, Bernie Sanders menepati ramalan apabila mencatat kemenangan awal semalam, sekali gus kekal di Senat untuk penggal ketiga.

Kemenangan Sanders di Vermont, calon bebas yang pernah bersaing dengan Hillary Clinton sebagai calon Demokrat dalam pilihan raya presiden 2016 adalah yang kedua selepas

kejayaan Tim Kaine, calon Demokrat di Virginia.

Kaine dengan mudah menewaskan calon Republikan, Corey Stewart.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:41 AM