Agensi

Jakarta: Pesawat penerbangan Sriwijaya Air dari Bengkulu ke Jakarta tertunda selepas penumpang memprotes kerana tidak tahan dengan bau durian terlalu kuat yang dibawa kapal terbang berkenaan.

Detik.com melaporkan, kejadian berlaku pada Isnin lalu ketika pesawat berkenaan bersedia untuk berlepas tetapi terpaksa dibatalkan selepas penumpang membuat protes dan keluar dari pesawat.

Seorang penumpang, Amir Zidane memuat naik satu video yang Facebook yang menunjukkan beberapa penumpang keluar dari pesawat berkenaan yang berada di parkir lapangan terbang.

Katanya, penumpang pada mulanya mempersoalkan bau durian yang terlalu kuat di kabin dan mereka keluar kerana bimbang buah berkenaan yang berada di ruang kargo melebihi had berat yang dibenarkan.

Selepas berbincang, akhirnya pihak pengurusan Sriwijaya Air bersetuju mengeluarkan durian itu dari ruang kargo.

Dalam video berkenaan, penumpang berada di luar pesawat dan melihat buah itu dikeluarkan sebelum mereka menaiki semula pesawat.

Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Sriwijaya Air, Retri Maya dalam satu kenyataan memberitahu, buah durian itu tidak menyalahi peraturan dan ia mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Mengangkut durian dalam penerbangan adalah perkara biasa dilakukan oleh syarikat penerbangan selagi ia dibungkus dengan baik dan dimasukkan di dalam kargo mengikut SOP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 10:07 PM