PENYELAMAT Tentera Laut Indonestion mengangkut serpihan enjin pesawat Lion Air JT-610 di pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta. FOTO EPA
AFP

PESAWAT Lion Air yang terhempas minggu lalu mempunyai masalah penunjuk laju-udara pada hari itu dan tiga penerbangan sebelumnya, kata jagawan pengangkutan Indonesia.

Butiran baru diperoleh daripada perakam data penerbangan yang ditemui minggu lalu, diketahui selepas kerajaan menyatakan akan melancarkan ‘audit khas’ terhadap operasi penerbangan tambang murah itu.

Seminggu selepas nahas, punca kejadian masih belum diketahui. Lion Air sebelum ini berkata, pesawat Boeing 737-Max 8 itu mengalami masalah teknikal ketika penerbangan Isnin minggu lalu itu, tetapi berjaya diatasi.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC) hari ini berkata, kotak hitam menunjukkan pesawat berkenaan mempunyai masalah penunjuk laju-udara ketika sekurang-kurangnya dua penerbangan terdahulu.

“Kesemuanya, ada empat penerbangan yang mengalami masalah dengan penunjuk laju-udara.

“Apabila masalah timbul, juruterbang mencatatkannya dan mekanik akan membaikinya. Kemudian pesawat diisytiharkan layak terbang,” kata ketuanya Soerjanto Tjahjono kepada pemberita.

Agensi itu akan menyiasat punca masalah berkenaan dan sama ada pembaikan sewajarnya dilakukan, termasuk menggantikan komponen yang rosak, katanya.

Butiran lanjut tidak diberikan, dan agensi itu tidak membuat spekulasi bagaimana masalah berkenaan mungkin memainkan peranan terhadap nahas, dalam pada ia meneliti perakam penerbangan yang dilihat kunci kepada punca pesawat yang agak baru itu terhempas.

Pengakuan Lion sebelum ini mengenai masalah teknikal pesawat, dan permintaan kapten untuk kembali ke lapangan terbang beberapa minit sebelum terhempas, menimbulkan persoalan sama ada wujud masalah khusus terhadap pesawat penumpang komersial terbaru serta moden dunia.

Penyelam masih mencari perakam suara kokpit pesawat itu.

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 9:19 PM