MUHAMMAD Syaugi (tengah) akui pihaknya tidak lagi dapat mengesan ‘ping’ daripada perakam itu. -Foto EPA
Agensi

JAKARTA: Pasukan penyelam yang mencari serpihan pesawat Lion Air tidak lagi dapat mengesan isyarat daripada perakam suara kokpit kapal terbang berkenaan.

Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Muhammad Syaugi berkata, ‘ping’ dikesan dari perakam itu pada Sabtu lalu, namun “hari ini kami tidak mendengarnya lagi.

“Kami memeriksa lokasi itu, kira-kira 50 meter dari lokasi kotak hitam pertama. namun perakam suara kokpit (CVR) masih belum ditemui,” katanya kepada pemberita.

CNN melaporkan, CVR itu kunci untuk membolehkan penyiasat mengenal pasti sama ada nahas berkenaan turut mempunyai kesan terhadap syarikat penerbangan lain yang menggunakan kapal terbang jenis sama.

Difahamkan, Virgin Australia sudah memesan 30 pesawat Boeing 737 MAX 8 dengan kumpulan pertama dijadualkan diterima pada November tahun depan, lapor portal news.com.au.

Pesawat Boeing 737 MAX 8 itu terhempas hanya beberapa minit sejurus berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober lalu. Seramai 189 orang maut dalam nahas dianggap nahas pesawat terburuk negara itu sejak 1997.

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 5:19 PM