ANTARA cebisan pesawat yang ditemui untuk di analisis. -Foto EPA
Agensi

JAKARTA: Penyiasat memperoleh 69 jam data daripada perakam penerbangan pesawat Lion Air yang terhempas di Laut Jawa pada 29 Oktober lalu dalam kejadian yang membunuh 189 orang.

Berita itu didedahkan susulan pihak berkuasa Indonesia semalam melanjutkan tempoh pencarian mangsa dan serpihan pesawat di laut.

Timbalan ketua panel keselamatan pengangkutan kebangsaan, Haryo Satmiko berkata dalam satu sidang media, data penerbangan selama 69 jam itu dimuat turun dari perakam berkenaan, termasuk penerbangan malang berkenaan.

Boeing 737 MAX 8 itu terhempas susulan berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober lalu, dalam nahas penerbangan terburuk negara itu sejak 1997.

Perakam data penerbangan itu ditemui penyelam pada Khamis lalu dalam keadaan rosak dan penyiasat berkata, ia perlu dikendalikan secara khusus untuk memperoleh maklumat di dalamnya.

Kotak hitam kedua - perakam suara kokpit - belum ditemui, namun pencari memfoksukan kawasan khusus berdasarkan isyarat lemah yang dikesan, lapor AP.

Ketua jawatankuasa keselamatan pengangkutan Indonesia, Nurcahyo Utomo berkata: “Dari situ kami akan menganalisis apa yang berlaku dalam penerbangan berkenaan.”

ABC News memetiknya berkata, analisis terhadap maklumat berkenaan serta enjin dan gear mendarat pesawat dimulakan hari ini dan akan dimaklumkan kepada polis jika perlu.

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 3:39 PM