SERPIHAN pesawat termasuk roda dikeluarkan dari dasar laut. - Reuters
Reuters

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia membuat keputusan melanjutkan tempoh mencari mangsa dan kotak hitam kedua dari lokasi nahas pesawat Lion Air yang terhempas minggu lalu.

“Kami memutuskan melanjutkan tempoh pencarian tiga hari lagi bermula esok (hari ini),” kata ketua agensi mencari dan menyelamat (BASARNAS), Muhammad Syaugi dalam satu sidang media.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian dan pemerhatian di lokasi nahas serta menyedari masih banyak mayat mangsa belum ditemui.

Sehingga hari ini, 105 beg, dengan sebilangan kecil mengandungi mayat yang masih sempurna sudah ditemui dan diserahkan kepada polis untuk proses pengenalan identiti namun hanya tujuh mangsa berjaya dikenal pasti.

“Saya pasti jumlah itu akan meningkat,” kata Syaugi.

Fokus utama BASARNAS ketika ini adalah untuk mencari baki mayat mangsa dan perakam suara kokpot (CVR) atau kotak hitam kedua dari bangkai pesawat Boeing 737 Max yang terhempas di Laut Jawa awal pagi Isnin lalu, 13 minit selepas meninggalkan Jakarta.

Penyelam pada ketika ini bergantung pada isyarat ping untuk mencari kotak hitam kedua, serentak usaha penyiasat memperoleh data dari kotak hitam pertama yang ditemui Khamis lalu.

“Isyarat diperoleh pengesan ping itu digunakan sebaik-baiknya namun kumpulan penyelam belum menemui kotak hitam kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 11:01 AM