ALEC Baldwin
AFP

New York: Pelakon Hollywood, Alec Baldwin didakwa menyerang seorang lelaki berusia 49 tahun, dengan menumbuknya di muka ketika perbalahan mengenai tempat meletak kenderaan di sini, kelmarin.

Menurut polis, aktor berusia 60 tahun yang terkenal dengan gayanya meniru Presiden Donald Trump, dan tinggal di pinggir bandar raya Manhattan, ditahan di Greenwich Village.

“Polis menerima panggilan pada jam 1.30 tengah hari (waktu tempatan) mengenai kejadian serangan. Ketika tiba di lokasi, kami dapati ia membabitkan kes dua lelaki berebut satu tempat meletak kenderaan.

“Difahamkan mangsa sudah meletakkan kenderaannya ketika berlaku perbalahan dengan Baldwin, yang kemudian menumbuknya di muka,” kata pegawai polis itu.

Menurutnya, lelaki itu yang tidak didedahkan identiti, dibawa ke hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala Baldwin ditahan.

“Baldwin kemudian didakwa melakukan serangan tahap ketiga dan gangguan tahap kedua.

“Beliau diarah hadir di mahkamah pada 26 November ini,” kata jurucakap polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 9:01 AM