ANGGOTA Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mengangkat cebisan bangkai pesawat.
Agensi

Jakarta: Pasukan pencari dilaporkan sudah mengesan isyarat lemah daripada kotak hitam kedua pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Lion Air.

Kotak hitam data penerbangan pesawat itu sudah ditemui Khamis lalu, dan pasukan pencari kini sedang mengesan kotak hitam kedua yang merakam perbualan dalam kokpit.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia, Marsyal Udara M Syaugi, berkata semalam: “Kami sudah mendengar ‘ping’ lemah daripada kotak hitam terbabit.

“Pasukan penyelam sedang berusaha mengesannya,” katanya.

Pesawat milik syarikat tambang murah Indonesia itu mengalami masalah teknikal ketika penerbangan dari Bali ke Jakarta sehari sebelum kejadian.

Rekod data penerbangan serta rakaman perbualan kokpit penting bagi mengenal pasti punca nahas.

Reuters melaporkan, pasukan pencari sudah dua hari mendengar isyarat dari kotak hitam kedua.

Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT), Soerjanto Tjahjono, berkata walaupun kedalaman laut hanya 30 meter namun arus kuat serta saluran paim di kawasan itu menyukarkan usaha mencari.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang melawat pusat operasi semalam, berkata pasukan pencari menggunakan semua aset dan teknologi yang ada bagi mempercepatkan carian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 3:20 AM