ORANG ramai menghadiri upacara pengebumian Vichai Srivaddhanaprabha di Bangkok. FOTO Reuters
AFP

MAJLIS pengebumian pemilik kelab bola sepak Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha, bermula hari ini di kuil Buddha di Bangkok, Thailand, dengan golongan elit negara dijangka memberikan penghormatan kepada hartawan berkenaan.

Vichai, 60, dan empat lagi maut dalam nahas helikopter sejurus berlepas dari padang kelab itu seminggu lalu, menamatkan hayat lelaki kelima terkaya di Thailand itu.

Beliau bermula daripada satu kedai di Bangkok sehingga memiliki empayar King Power bebas cukai, yang kedainya berada di lapangan terbang dipenuhi pelancong di Thailand.

Vichai menggunakan kekayaan hasil perniagaan monopoli itu untuk mendapatkan Leicester City dan membantu menjadikan kelab berkenaan kepada pemenang gelaran Liga Perdana pada 2016.

Jasad Vichai diterbangkan balik ke Thailand dan dibawa ke Wat Thepsirin kelmarin, dengan individu terkenal yang rapat dengan keluarga mendiang memakai serba hitam untuk perhimpunan peribadi menjelang upacara yang bermula petang ini dan berlanjutan hingga 9 November.

Pemain kelab Leicester termasuk jurulatih Claude Puel dijangka mengunjungi Thailand untuk memberikan penghormatan selepas pertandingan menentang Cardiff City hari ini.

Vichai meninggalkan isteri dan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan.

Semuanya ialah lembaga eksekutif King Power, yang kini berhadapan masa depan tidak menentu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 6:47 PM