SERPIHAN bangkai pesawat Lion Air JT610. FOTO Reuters
Agensi

KERAJAAN Indonesia mengarahkan semua pesawat Boeing 737 MAX 8 diterbangkan syarikat pengendali negara itu diperiksa susulan nahas Lion Air JT610 yang menggunakan jenis pesawat sama.

Kementerian Pengangkutan sudah menghantar sepucuk surat kepada Lion Air dan Garuda Indonesia, dua syarikat penerbangan Indonesia yang menggunakan MAX 8, untuk menjalankan ujian ‘khas’ kelayakan terbang ke atas jenis pesawat Boeing 737 MAX 8.

Lion Air mengendalikan 11 pesawat Boeing 737 MAX 8, sementara Garuda Indonesia menggunakan satu.

“Kami akan merumuskan ujian dan menyediakan keputusan kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) sebagai asas menentukan punca insiden itu,” kata Menteri Pengangkutan Budi Karya Sumadi semalam menerusi laporan laman web Jakarta Post.

Dalam surat bertarikh 29 Oktober, Pengarah Operasi Pesawat dan Kelayakan Terbang kementerian, Kapten Avirianto memohon pengarah PT Lion Mentari Airlines, yang mengendalikan Lion Air dan PT Garuda Indonesia, supaya menjalankan beberapa pemeriksaan ke atas pesawat.

Avirianto meminta mereka memeriksa kumpulan pesawat MAX 8 untuk sebarang tanda masalah berulang dalam log penerbangan, prosedur mencari penyelesaian, kesesuaian antara prosedur itu dan standard kelayakan terbang serta peralatan mencukupi dalam penerbangan dan kemudahan melaksanakan prosedur penyelesaian.

Katanya, keputusan itu akan dihantar kepada direktorat penerbangan awam dan kelayakan terbang kementerian untuk semakan.

Terdahulu, Budi berkata, pesawat Lion Air JT610 yang memberi khidmat laluan Jakarta-Pangkal Pinang, disahkan layak terbang dan memiliki sijil kelayakan serta pendaftaran pesawat pada hari nahas berlaku.

Menteri itu juga berkata, syarikat penerbangan itu dikehendaki menjalankan proses mengenal pasti kecergasan pesawat untuk terbang, seperti penyelenggaraan berkala ketika tempoh sah dokumen.

Katanya, kerajaan juga bercadang menghantar pasukan pemeriksa untuk menjalankan audit khas ke atas PT Lion Mentari Airlines dan syarikat penyelenggaraan Batam Aero Technic.

Berita berkaitan

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 5:56 PM