ANGGOTA penyelamat bersiap untuk menyelam di lokasi penerbangan JT610 pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Karawang, Wilayah Jawa Barat, Indonesia.
Agensi

Jakarta: Operasi pencarian pesawat Lion Air JT610 kini tertumpu di dasar laut dengan 30 penyelam dihantar ke Laut Jawa untuk mencari badan kapal terbang dan kotak hitam yang dipercayai berada pada kedalaman 25 hingga 30 meter, kata pegawai.

Kotak hitam yang mengandungi rakaman kokpit dan data penerbangan adalah komponen penting menjawab persoalan mengapa pesawat baru itu boleh terhempas ketika cuaca baik.

Ketua Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT), Soerjanto Tjahjono berkata, bantuan daripada Singapura dilapor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta petang kelmarin.

Jakarta Post turut melaporkan, Pasukan Singapura dengan tiga anggota dan peralatan canggih untuk mencari kotak hitam.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), M Syaugi berkata, sejak jam 11 pagi kelmarin tiada serpihan ditemui terapung di laut, lokasi pesawat itu dipercayai terhempas.

“Kami kini memulakan pencarian di bawah air dan proses itu masih berjalan,” katanya dalam satu sidang media.

Menurutnya, 30 penyelam khas melakukan pencarian mengikut ramalan pergerakan objek yang dikira berdasarkan masa pesawat jatuh di laut dan juga keadaan arus serta angin.

“Penyelaman tidak melakukan pencarian secara rawak tetapi di lokasi di mana objek itu diramalkan berada berdasarkan pergerakan cuaca dan angin,” jelasnya.

Kata Syaugi, mengikut prosedur operasi standard, pencarian berlangsung selama tujuh hari dengan tambahan tiga hari jika objek tidak ditemui.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam sidang media yang sama mengarahkan operasi mencari itu dijalankan 24 jam.

Kira-kira 300 anggota pasukan pencari dan penyelamat daripada Basarnas, KNKT, polis, tentera dan juga Kementerian Pengangkutan serta sektor swasta.

“Kira-kira 15 kapal dihantar ke lokasi pesawat itu dipercayai terhempas untuk operasi mencari dan menyelamat. Saya mengarahkan mereka mencari 24 jam tanpa henti dan menggunakan lampu pada waktu malam,” katanya.

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 11:39 AM