NELAYAN membaiki bot mereka yang rosak akibat dilanda Taufan Yutu. - EPA
Agensi

Manila: Taufan Yutu mula melanda Filipina semalam, membawa angin kencang yang menerbangkan bumbung rumah dan mematahkan pokok serta hujan lebat mengikut laluan sama Typhoon Taufan Mangkhut bulan lalu, yang menyebabkan puluhan maut.

Pihak berkuasa mengarahkan ribuan penduduk, terutama di kawasan pantai berpindah ke tempat selamat menjelang ketibaan taufan itu.

Menurut AFP, Taufan Yutu melanda dengan angin selaju 150 kilometer sejam sebelum meningkat sehingga 210 kilometer sejam.

Reuters melaporkan, Yutu, taufan ke-18 melanda Filipina tahun ini, melanda Pulau Luzon pagi semalam.

Taufan itu yang diberi nama Rosita oleh pihak berkuasa Filipina berlaku enam minggu selepas Taufan Mangkhut melanda Luzon, menyebabkan tanah runtuh berikutan hujan lebat menyebabkan 70 terbunuh.

Sehingga petang semalam, pihak berkuasa Filipina masih menilai kerosakan serta kecederaan atau korban akibat taufan itu.

Laporan agensi bantuan menyatakan berlaku banjir besar di wilayah Nueva Vizcaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 9:46 AM