PRESIDEN Indonesia Joko Widodo melihat sebahagian bangkai pesawat dan barang mangsa nahas yang hancur. FOTO/AFP
Agensi

JAKARTA: Syarikat insurans milik kerajaan, Jasa Raharja memberi jaminan, semua penumpang yang menaiki pesawat malang Lion Air JT610 atau waris terdekat akan diberi pampasan mengikut undang-undang sedia ada dan peraturan Kementerian Kewangan 2017.

“Jasa Raharja bersedia memberi pampasan sebanyak Rp 50 juta (RM13,733.94) untuk mangsa yang maut manakala Rp 25 juta (RM6,866.97) untuk menampung kos hospital mangsa yang cedera,” kata pengarah syarikat, Budi Rahardjo dalam satu kenyataan dipetik laman web Jakarta Post semalam.

Sementara itu, Timbalan operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Nugroho Budi Wiryanto berkata, pihaknya mengerah 150 kakitangan termasuk pasukan 30 penyelam, sementara Tentera Indonesia (TNI) dan Polis Nasional juga menghantar 150 anggota.

Pasukan SAR 300 anggota itu juga dibantu nelayan, katanya dan ia akan menambah jumlah kakitangan bagi meningkatkan operasi.

Pesawat malang itu membawa 189 orang terdiri daripada 178 dewasa, tiga kanak-kanak, dua juruterbang dan enam kru. Antara penumpang adalah puluhan kakitangan Kementerian Kewangan, Agensi Audit Tertinggi (BPK) serta Kementerian Tenaga dan Alam Sekitar.

“Kami berharap keajaiban daripada Tuhan. Basarnas menghantar sumber penuh dari segi peralatan untuk operasi SAR. Kami masih belum menemui kotak hitam, justeru penemuan kami belum bererti,” katanya.

Pengawal trafik udara (ATC) Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta terputus hubungan dengan JT610 jam 6.33 pagi semalam, kira-kira 13 minit sejurus berlepas. Pihak berkuasa kemudian mengumumkan pesawat terhempas 12.96 kilometer di utara pantai Tanjung Bungin di Karawang, Jawa Barat.

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 6:00 PM