Punca kematian rasmi Daniel tidak didedahkan. FOTO Agensi/Twitter
Agensi

SAO PAULO: Mayat seorang pemain bola sepak Brazil ditemui dalam belukar dengan kepalanya hampir putus manakala kemaluannya dipotong Sabtu lalu, lapor media tempatan.

Mayat bintang Sao Paulo, Daniel Correa Freitas, 24, itu ditemui orang ramai di Sao Jose dos Pinhais, Parana, selatan Brazil oleh orang awam yang kebetulan lalu di situ.

Punca kematian rasminya tidak didedahkan namun akhbar tempatan, Band B melaporkan, Freitas diseksa.

Anggota polis memberitahu akhbar itu: “Mayatnya menunjukkan tanda diperlakukan ganas.

“Dia mempunyai dua luka dalam di bahagian leher, kepalanya hampir terputus dan kemaluannya dipotong.

“Jalan tempat mayatnya ditemui memang terpencil dan lazim menjadi tempat pembuangan mayat.”

Menurut akhbar itu, bukti menunjukkan mangsa dibunuh sebelum mayatnya diseret 30 meter.

Pemain tengah itu memulakan kerjayanya dengan Botafogo sebelum berpindah ke Sao Paulo tiga tahun lalu, lapor Daily Mail.

Bagaimanapun, dia menghabiskan dua tahun lalu bermain dengan beberapa kelab lain.

Susulan itu, beberapa kelab turut menyuarakan kesedihan di Twitter berhubung berita kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 5:09 PM