GAMBAR hiasan
AFP

LONDON : Siasatan menyeluruh ke atas eksploitasi seksual membabitkan kanak-kanak di sebuah pekan di utara England membawa kepada sabitan jenayah tujuh lelaki yang menjadikan remaja perempuan sebagai sasaran.

Kesemua anggota kumpulan jenayah itu disabitkan dengan pelbagai kesalahan termasuk, serangan tidak bermoral dan mengurung ramai gadis muda di Rotherham.

Seorang daripada mangsa memberitahu Mahkamah Sheffield Crown bagaimana dia mengadakan hubungan seks dengan sekurang-kurangnya 100 lelaki dari etnik Asia Selatan menjelang usia 16 tahun.

BBC melaporkan, kesemua lelaki yang disabitkan dengan pertuduhan jenayah itu berketurunan Pakistan dan didapati bersalah mendera lima gadis remaja selama tujuh tahun.

Kes itu dikesan dari siasatan Agensi Jenayah Nasional (NCA) berhubung eksploitasi seksual kanak-kanak di Rotherham yang berjaya mengenal pasti lebih daripada 1,500 mangsa.

Satu siasatan menyeluruh dimulakan serentak dengan pendedahan pada tahun 2014 mengenai siri penderaan seksual di Yorkshire antara 1997 hingga 2013 dan kegagalan polis serta khidmat sosial untuk campur tangan.

Juri semasa perbicaraan diberitahu, kesemua gadis berkenaan yang menjadi mangsa ketujuh-tujuh lelaki terbabit kini berusia dalam lingkungan 30an.

“Apabila mencecah usia remaja, mereka menjadi sasaran, didera secara seksual termasuk dengan ganas di tangan semua lelaki ini,” kata pendakwa Michelle Colborne.

Tujuh penjenayah itu akan dijatuhkan hukuman pada 16 November ini manakala semua mangsa berusia 14,15 dan 16 tahun ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 10:44 AM