ANGGOTA pasukan keselamatan memeriksa bangkai helikopter yang terhempas di Stadium King Power, Leicester, semalam. Foto REUTERS

HELIKOPTER dimiliki pemilik kelab Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha dilaporkan terhempas di tempat letak kereta Stadium King Power, Leicester selepas berakhirnya perlawanan Liga Perdana, semalam.

Bagaimanapun, masih tidak diketahui sama ada bapa kepada empat cahaya mata dan pengasas syarikat bebas cukai, King Power International menaiki helikopter itu ketika ia hilang kawalan, kira-kira satu jam selepas perlawanan berakhir.

Menurut saksi, helikopter itu baharu berlepas dari bahagian atas stadium sebelum ia mula berpusing, lalu jatuh ke tanah dan meletup.

Jurucakap kelab berkata: “Kami sedang membantu pihak polis Leicestershire dan perkhidmatan kecemasan bagi mengendalikan insiden di Stadium King Power.”

Pada masa sama, polis dan perkhidmatan ambulans meminta orang ramai supaya menjauhi lokasi kejadian. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 9:59 AM