AFP

SAO PAULO: Tindakan melepaskan tiga das tembakan menjadi detik yang mengubah kerjaya anggota polis Brazil, Katia Sastre kepada salah seorang ahli politik paling berjaya dalam pilihan raya negara itu.

Kehidupan Sastre melalui perubahan besar selepas tiga tembakan yang dilepaskannya itu membunuh seorang perompak bersenjata di luar sekolah anak perempuannya.

Dia mendapat pujian gabenor Sao Paulo dan selepas segera dibawa masuk politik, Sastre meraih 264,000 undi untuk menang dan membolehkannya dilantik menjadi anggota Kongres.

Sastre, 42, juga tidak segan silu untuk menggunakan video kejadian tembakan itu untuk mempromosi dirinya seperti ketika menjelang pilihan raya.

“Saya lepaskan tembakan dan akan lakukannya sekali lagi. Saya berani,” katanya dalam satu video kempen dengan berpakaian polis.

Dalam video itu, seorang perompak bersenjata tiba-tiba mengacu senjata ke arah seorang wanita tetapi pada ketika itu juga dalam suasana orang ramai menjerit dan berlari dari situ, Sastre yang tidak bertugas, mengeluarkan senjata dari beg tangan dan menembaknya dua kali di dada dan sekali di kaki.

Penyerang berusia 21 tahun itu kemudian meninggal dunia selepas dihantar ke hospital.

“Saya tidak gembira dengan kematiannya kerana tiada siapa mahu berakhir seperti itu. Tetapi, saya gembira kerana dapat selamatkan orang,” kata Sastre dari pejabatnya di Suzano, Sao Paulo.

Videonya kemudian tular pada Mei lalu di media sosial dan Sastre masih ingat ramai orang yang menelefon dan mengucapkan tahniah kepadanya.

Tindakannya itu disambut baik kerana soal keselamatan adalah isu besar di Brazil di mana 63,800 dibunuh tahun lalu.

Telefon Sastre sentiasa berdering dan semua parti politik cuba memujuknya menjadi calon mereka.

Sastre memilih Parti Republik berhaluan konservatif dan menjadi seorang daripada 35 calon anggota bersenjata untuk menang kerusi Parlimen, dua kali ganda bilangannya dibandingkan keadaan sebelum pilihan raya umum 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 9:51 PM
Katia kini beralih menjadi ahli politik. FOTO Agensi