DEEPIKA dan Ranveer akan berkahwin bulan depan. FOTO/AGENSI
AFP

NEW DELHI: Pasangan pelakon popular Bollywood, Deepika Padukone dan Ranveer Singh, hari ini mengumumkan akan berkahwin, menamatkan spekulasi selama beberapa bulan mengenai hubungan mereka.

Mereka mengesahkan akan berkahwin bulan depan dalam kenyataan yang disiarkan di akaun Twitter rasmi dalam bahasa Hindi dan Inggeris.

“Dengan restu keluarga, kami amat gembira untuk berkongsi bahawa perkahwinan kami ditetapkan pada 14 dan 15 November ini,” menurut kenyataan.

Padukone, 33, dan Singh 32, dilaporkan mula menjalin hubungan pada 2013 tetapi merahsiakan percintaan mereka daripada pengetahuan umum.

Padukone ialah antara aktres yang menerima bayaran paling mahal di Bollywood dan pernah beraksi di Hollywood menerusi filem ‘xXx: Return of Xander Cage’, di samping aktor Vin Diesel.

Bakal pengantin berkenaan juga pernah beraksi di layar perak bersama-sama, termasuk filem kontroversi awal tahun ini yang mencetuskan bantahan keganasan di utara India.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 9:47 PM