Agensi

ISTANBUL: Arab Saudi dilaporkan bersedia mengakui wartawan Jamal Khashoggi terbunuh ketika soal siasat dalam konsulat negara itu di Istanbul yang pada asalnya bertujuan menculik mangsa dari Turki.

Menurut CNN yang memetik dua sumber, kerajaan Arab Saudi menyediakan laporan yang akan menyatakan Khashoggi mati ketika soal siasat

Laporan itu yang masih di peringkat awal akan menyatakan soal siasat berkenaan ‘dilakukan tanpa kebenaran atau pengetahuan kerajaan mereka yang terbabit akan dipertanggungjawabkan’.

Satu daripada sumber itu bagaimanapun memberitahu CNN, laporan berkenaan ‘boleh ditukar’ mengikut keadaan.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengesahkan sudah melihat berita mengenai ‘laporan Arab Saudi’ itu namun menurutnya, tiada siapa dapat memastikan sama ada ia laporan rasmi atau tidak.

“Saya dengar mengenai laporan itu, namun setakat ini, ia hanya khabar angin,” katanya.

Sebelum itu, Trump mengandaikan ‘pembunuh gila’ akan dipersalahkan selepas menyatakan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman, melalui perbualan telefon menegaskan kerajaan terbabit dalam pembunuhan Khashoggi.

“Beliau menyatakannya dengan tegas. Ia kedengaran kepada saya mungkin dilakukan pembunuh gila,” katanya.

Selain itu, Wall Street Journal yang turut memetik sumber, melaporkan Arab Saudi menimbang kemungkinan memberitahu wartawan terbabit terbunuh secara tidak sengaja ketika disoal siasat.

Sementara itu, AFP melaporkan sepasukan penyiasat Turki meninggalkan bangunan konsulat Arab Saudi awal pagi semalam, selepas melakukan pemeriksaan selama lapan jam.

Mereka yang menjalankan siasatan bersama delegasi Arab Saudi, membawa beberapa contoh termasuk tanah dari laman konsulat.

Pemeriksaan itu dilakukan dengan kebenaran Raja Salman kerana mengikut Konvensyen Geneva, konsulat atau kedutaan adalah wilayah berdaulat sesebuah negara.

Khashoggi, penulis kolum Washington Post yang banyak mengkritik pemerintah Arab Saudi, dilihat memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu, bagi menguruskan dokumen perkahwinannya dan tidak lagi dilihat selepas itu.

Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo, tiba di Riyadh semalam, bagi membincangkan isu Khashoggi dengan Raja Salman dan Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir sebelum makan malam dengan Putera Mahkota Mohamed Bin Salman.

Pihak berkuasa Turki mendakwa memiliki rakaman suara menunjukkan Khashoggi dibunuh dalam konsulat berkenaan dan rakaman itu bukan dari jam tangan pintar Apple yang dipakai mangsa.

Reuters melaporkan, polis Turki memiliki rakaman suara itu dan ia dikongsi dengan beberapa negara, termasuk Arab Saudi sendiri dan Amerika.

AlJazeera melaporkan, rakaman suara itu sepanjang 11 minit dan analisis oleh juruteknik audio mengenal pasti tiga suara dipercayai dari Arab Saudi selain suara Khashoggi menunjukkan mangsa diserang sebaik masuk ke dalam konsulat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 6:14 AM