PUTERA Harry dan Meghan Markle. - Agensi
AFP

LONDON: Istana Kensington semalam, mengumumkan Duchess of Sussex, Meghan Markle, isteri Putera Harry, kini hamil.

Menurut Reuters, dalam kenyataan istana berkenaan berkata: “Yang Mulia Duke dan Duchess of Sussex sangat gembira mengumumkan Duchess of Sussex dijangka bakal melahirkan bayi sulungnya pada musim bunga tahun depan.

Harry dan Meghan berkahwin Mei lalu dan kini berada di Australia, lawatan pertama mereka ke luar negara.

Harry dan Meghan tiba di Sydney semalam, bagi memulakan siri lawatan ke rantau Pasifik.

Mereka tiba di Australia yang kini musim sejuk, selepas menghabiskan hujung minggu meraikan perkahwinan sepupu mereka, Puteri Eugenie dengan seorang saudagar wain.

Menurut AFP, lawatan lebih dua minggu itu membabitkan beberapa destinasi di Australia, Fiji, Tonga dan New Zealand, kesemuanya negara Komanwel bekas jajahan Britain.

Lawatan pasangan berkenaan menjadi perhatian utama media Britain.

Meghan adalah aktres Amerika Syarikat sebelum berkahwin dengan cucu Ratu Elizabeth II itu dan menjadi perhatian terbaru media Amerika.

Pasangan Diraja itu diiringi 10 petugas dan sekumpulan besar media dari semua akhbar dan stesen televisyen Britain.

Lawatan rasmi mereka akan bermula dengan majlis sambutan oleh Gabenor Jeneral Australia, Peter Cosgrove dan isterinya, Lynne, di Sydney, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 6:15 AM