LINDA sudah menjaga hidupan liar lebih 15 tahun. FOTO/LINDA SMITH
Reuters

SYDNEY: Suami isteri yang juga penjaga hidupan liar Australia, Jim dan Linda Smith disifatkan sebagai bertuah kerana masih hidup selepas diserang kangaru di barat laut Queensland.

Pasangan Smith itu dipercayai sedang memberi makan kangaru liar di kawasan milik mereka di Darling Downs apabila seekor kangaru jantan dewasa yang berwarna kelabu menyerang Jim.

Haiwan itu kemudiannya menyerang Linda apabila wanita berkenaan lari meminta tolong menyebabkan paru-parunya bocor, patah tulang rusuk, luka dan calar balar.

“Ia menakutkan. Haiwan itu menendang saya beberapa kali dan apabila ia berjaya menangkap anda, anda dapat melihat apa yang ia lakukan,” kata Jim sambil menunjukkan kecederaan dialaminya.

Media Australia melaporkan, serangan haiwan terbabit hanya terhenti apabila anak lelaki pasangan itu keluar dan memukul kangaru berkenaan menggunakan sebatang kayu, menyebabkan ia melarikan diri ke semak berhampiran.

Menurut media, Linda Smith dibawa ke Hospital Toowomba untuk menjalani pembedahan segera.

“Jika kangaru itu berterusan mencederakan beliau, nyawa wanita itu berada dalam bahaya,” kata penyelia kanan operasi Perkhidmatan Ambulans Queensland, Stephen Johns.

Serangan kangaru liar bukan perkara luar biasa di Australia yang memiliki hampir 45 juta ekor haiwan berkenaan berikutan pertambahan kawasan perumahan sehingga mengancam habitat asal marsupial itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 12:47 PM