PUTERA Harry (kanan) bersama Meghan tiba di Sydney. FOTO/NINE NEWS
AFP

SYDNEY : Putera Harry dan isterinya Meghan selamat mendarat di Sydney hari ini bagi memulakan siri lawatan ke Pasifik yang juga lawatan penting pertama pasangan terbabit ke luar negara.

Pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu tiba di Australia yang sedang berada dalam musim sejuk selepas menghabiskan waktu hujung minggu meraikan perkahwinan sepupu mereka, Puteri Eugenie bersama seorang saudagar wain.

Lawatan lebih dua minggu itu membabitkan beberapa destinasi di Australia, Fiji, Tonga dan New Zealand, kesemua bahagian negara Komanwel yang pernah dijajah Britain.

Ratu Elizabeth II secara teknikal masih ketua negara Australia walaupun dari aspek praktikal, negara berkenaan sudah merdeka dan terdapat sokongan untuk menjadi sebuah republik.

Pasangan Diraja terbabit berkemungkinan besar akan mengadakan sesi bermain bersama beruang koala, menonton tarian haka oleh tentera dan menghadiri Sukan Invictus, sukan pelbagai acara khusus untuk veteran tentera yang tercedera, bermula 20 Oktober ini.

Keseluruhan lawatan berkenaan akan menjadi perhatian utama media Britain sepanjang ia berlangsung.

Meghan, seorang aktres Amerika Syarikat (AS) dengan penampilan fotogenik melangsungkan perkahwinan bersama cucu Ratu Elizabeth II itu pada Mei lalu dan menjadi perhatian terbaru media termasuk dari luar Britain.

Pasangan Diraja itu akan diiringi 10 petugas dan sekumpulan besar media dari semua akhbar dan stesen televisyen Britain.

Lawatan rasmi mereka akan bermula esok di Sydney menerusi upacara sambutan oleh Gabenor Jeneral Australia, Peter Cosgrove dan isterinya, Lynne.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 11:41 AM