New Delhi: Tiga puluh empat pelajar perempuan berusia antara 12 hingga 16 tahun dirawat di hospital apabila dibelasah menggunakan kayu oleh sekumpulan budak lelaki serta ibu dan jiran penyerang berkenaan, kata pihak berkuasa.

Kejadian berlaku Sabtu lalu di luar sekolah asrama kerajaan di Bihar, timur India, kata polis kepada Reuters, susulan beberapa serangan seksual di seluruh India yang mencetuskan kemarahan.

Ia hanya diketahui hari ini selepas laporan polis akhirnya dibuat. Sepuluh orang termasuk empat wanita ditahan, kata ketua polis Supaul, Mrityunjay Kumar Choudhary. Semua mangsa hanya cedera ringan dan sudah dibenarkan pulang.

Budak lelaki terbabit berusia antara 12 hingga 16 tahun masuk ke sebuah padang berhampiran sekolah itu di Darpakha, kira-kira 300 kilometer dari ibu negeri Patna ketika remaja perempuan terbabit sedang bermain. Mereka kemudian menjerit menghina kumpulan gadis terbabit termasuk dengan kenyataan lucah, kata Choudhary.

Mereka meninggalkan tempat itu selepas dimarah budak perempuan terbabit tetapi kemudian datang semula dengan 20 orang bersenjatakan kayu.

Pegawai Daerah Supaul, Baidyanath Yadav berkata, budak lelaki berkenaan membawa ibu mereka dan beberapa jiran, malah wanita terbabit turut menyerang kumpulan gadis itu.

Katanya, budak perempuan terbabit sudah kembali ke sekolah mereka dan pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di situ. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:37 PM