AKTRES Bollywood, Tanushree Dutta. FOTO AFP
AFP

MUMBAI: Aktres Bollywood yang mendedahkan dakwaan gangguan seksual sekali gus mencetuskan siri dakwaan #MeToo memfailkan aduan rasmi, kata polis hari ini.

Bekas peserta Ratu Universe itu, Tanushree Dutta, mendakwa awalnya pada 2008 bahawa pelakon Nana Patekar bertindak tidak senonoh terhadapnya ketika menjalani penggambaran filem romantik komedi pada tahun sama.

Tiada tindakan diambil ketika itu terhadap Patekar dan Dutta sendiri tidak membuat aduan rasmi.

Namun didorong dengan kempen global #MeToo, yang menyaksikan wanita berkongsi pengalaman diganggu dan diserang secara seksual, Dutta mengulangi dakwaan itu dalam temubual baru-baru ini dan semalam memfailkan aduan rasmi mengenai gangguan seksual pada 2008 itu.

“Dutta mengunjungi balai polis semalam dan menyerahkan aduan bertulis.

“Kami menyiasat kes itu tetapi buat masa ini, ia bukan Laporan Maklumat Pertama (FIR) atau siasatan rasmi tetapi aduan bertulis mengenai kejadian berkenaan,” kata jurucakap polis Mumbai, Inspektor Shailesh Pasalwar.

Dutta, dalam temubual juga mendakwa pengarah Vivek Agnihotri bertindak tidak senonoh terhadapnya ketika penggambaran filem ‘Chocolate: Deep Dark Secrets’ pada 2005.

Dalam kenyataannya minggu lalu, pelakon itu berkata sudah menerima notis perundangan daripada Patekar dan Agnihotri, yang menafikan tuduhan itu.

India belum menyaksikan versi pergerakan #MeToo yang menggegarkan Hollywood tahun lalu, tetapi Dutta mendapat sokongan beberapa bintang ternama termasuk Priyanka Chopra, Farhan Akhtar dan Sonam Kapoor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 8:52 PM