Duterte pergi ke hospital persendirian. FOTO Reuters
Reuters

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte akan memaklumkan orang awam jika beliau mempunyai ‘penyakit serius,’ kata jurucakapnya semalam, sehari selepas pemimpin itu berucap di khalayak ramai, mengatakan dirinya pergi ke hospital untuk menjalani pelbagai ujian.

Khabar angin mengenai masalah kesihatan Duterte muncul semula selepas presiden berusia 73 tahun itu, terkenal kerana jadual padat dan ucapan panjang, terlepas dua acara rasmi Rabu lalu, termasuk mesyuarat Kabinet.

Dalam satu ucapan televisyen malam Khamis lalu, Duterte memaklumkan pegawai keselamatan atasan, beliau pergi ke hospital persendirian oleh kerana doktornya mahu mendapatkan lebih banyak sampel tisu.

Beliau tidak menjelaskannya namun berkata dalam ucapan sama: “Saya akan beritahu jika ia kanser.”

“Keputusan pemeriksaan, sama ada didedahkan kepada umum atau tidak bergantung kepada apa yang mereka temui.

“Presiden tidak berhasrat menyembunyikan apa-apa mengenai kesihatannya. Saya memberi jaminan kepada orang awam, presiden tidak akan menyembunyikan apa-apa. Jika ia serius, beliau akan memaklumkan negara,” kata jurucakap Duterte, Harry Roque dalam taklimat berita, memetik peruntukan dalam Perlembagaan Filipina berhubung pendedahan umum keadaan kesihatan presiden.

Mengikut undang-undang Filipina, jika seorang presiden masih berkhidmat meninggal dunia ketika memegang jawatan, mengalami cacat kekal atau disingkirkan menerusi pemecatan, Naib Presiden akan menggantikan baki pemerintahan penggal tunggal enam tahun.

Naib Presiden Leni Robredo, seorang pemimpin politik pembangkang, dipilih berasingan pada 2016 dan mungkin mencetuskan ketidaktentuan dalam proses penggantian oleh kerana persekitaran politik yang polarisasi.

Roque berkata, beliau ‘tidak dimaklumkan’ mengenai lawatan Duterte ke hospital, yang dikatakan untuk prosedur endoskopi.

“Endoskopi dicadangkan, berdasarkan kata-katanya kerana mereka mahu memastikan ada ketumbuhan dan mahu mengetahui lebih lanjut mengenainya.

“Itu yang beliau katakan ‘jika ia kanser,’” katanya. Apabila ditanya jika presiden menunggu mati, Roque berkata: “Saya tidak fikir begitu.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 5:20 PM