PEMANDANGAN dari udara memperlihatkan sebuah masjid di perkampungan Balaroa musnah akibat bencana tsunami. -Foto BERNAMA

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerlukan dana segera sebanyak AS$50.5 juta (RM209.4 juta) bagi membantu mangsa gempa dan tsunami di Sulawesi, Indonesia.

Pelan bantuan itu dirangka secara bersama oleh PBB melalui perundingan dengan pegawai kerajaan Indonesia.

Ia menggariskan ‘bagaimana masyarakat dengan agenda kemanusiaan di negara itu dapat memberi bantuan teknikal secara bersasar.’

Hampir 1,600 orang terbunuh minggu lalu disebabkan gempa dan tsunami yang menyusul dengan lebih 1,000 lagi hilang, kata pegawai semalam.

Kawasan paling teruk ialah di Palu yang mengalami kemusnahan besar selepas dilanda gempa dan ombak besar hingga banyak kawasan penduduk tinggal kayu dan besi saja.

Pelan PBB itu bertujuan membantu 191,000 orang bagi tempoh tiga bulan akan datang, menurut kenyataan badan dunia itu.

Ia menganggarkan 65,000 kediaman rosak pada tahap tertentu dengan 10,000 daripadanya ‘musnah sama sekali’ kerana tsunami manakala 15,000 lagi rosak teruk kerana gempa.

“Seminggu selepas bencana berlaku, kesan keseluruhannya masih lagi dikumpulkan,” kata Penyelaras Tetap PBB di Indonesia, Anita Nirody.

“Mereka yang terjejas khususnya yang kehilangan rumah dan semua harta benda, memerlukan tempat perlindungan, akses kepada air bersih, rawatan kesihatan dan bantuan psikologi.

“Dana yang diminta itu akan membenarkan komuniti bantuan kemanusiaan memberi sokongan lebih berkesan kepada pertubuhan tempatan dan kerajaan di sana,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 2:17 PM