Tanushree disaman selepas dedah gangguan seksual. FOTO REUTERS
AFP

MUMBAI: Pelakon wanita di India mendakwa menerima notis undang-undang dan ancaman diserang selepas mendedahkan kes gangguan seksual yang dialaminya ketika berada di dua set penggambaran filem.

Bekas peserta Miss Universe, Tanushree Dutta, berkata insiden gangguan seksual itu membabitkan bintang Bollywood, Nana Patekar yang pernah memenangi pelbagai anugerah, ketika mereka menjalani penggambaran filem romantik komedi, ‘Horn Ok Pleassss’ pada 2008.

Dutta, 37, pernah mendedahkan kejadian itu kira-kira 10 tahun lalu, sebaik sahaja menamatkan penggambaran filem terbabit.

Kejadian itu didedahkan kembali dalam satu temubual baru-baru ini, dan kali ini, beliau mendakwa pengeluar filem Vivek Agnihotri, berkelakuan tidak sewajarnya terhadap beliau sewaktu penggambaran filem ‘Chocolate: Deep Dark Secrets’ pada 2005.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak, iaitu Patekar dan Agnihotri menafikan tuduhan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dutta berkata, beliau sudah menerima notis undang-undang daripada Patekar dan Agnihotri.

“Ini adalah harga yang perlu anda bayar apabila mendedahkan mengenai insiden penghinaan, gangguan dan ketidakadilan yang berlaku di India,” kata Dutta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 8:57 PM