PETIKAN rakaman video pelancong China dimarah pengawal keselamatan lapangan terbang. - FOTO Agensi
AFP

BANGKOK: Kerajaan Thailand mengeluarkan kenyataan memohon maaf yang pantas terhadap kejadian pelancong China dipukul anggota keselamatan pengawal lapangan terbang Don Muang di Bangkok.

Pelancong China adalah sumber pelancongan terbesar Thailand, merangkumi satu perempat daripada 35 juta pelawat setahun.

Namun bencana bot karam di Phuket Julai lalu yang meragut puluhan pelancong China menyebabkan penurunan kedatangan pelancong China menyebabkan Thailand berwaspada mengenai masalah yang boleh menjejaskan pasaran itu.

Rakaman video bertarikh 27 September itu yang menunjukkan pengawal keselamatan bergelut sebelum memukul seorang lelaki, mencetuskan reaksi daripada pegawai tinggi kerajaan.

Jurucakap kerajaan, Sunsern Kaewkumnerd berkata, Perdana Menteri, Prayuth Chan-O-Cha, kecewa dengan kejadian itu.

“Perdana Menteri berasa walaupun pelancong tidak boleh memberikan dokumen untuk mengesahkan penginapannya di Thailand, enggan berada dalam bilik tahanan dan bertindak biadap dengan pegawai, mereka masih perlu bertenang dan melayannya selari dengan amalan antarabangsa,” kata Sunsern dalam mesej kepada wartawan.

Beliau menambah, dua pekerja kanan lapangan terbang digantung dan pengawal berkenaan dipecat, termasuk pengurus besar lapangan terbang, Suthirawat Suwannarat, digantung kerja 30 hari.

Pelancong itu dikenali sebagai Mei Ji, yang tiba menerusi penerbangan dari Jakarta, enggan menunggu dalam bilik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 4:14 AM