KEADAAN yang menakutkan di kawasan yang dilanda tsunami. -Foto EPA
Agensi

PALU: Sepasang suami isteri, Andi Rainaldi dan Flarahanie terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan anaknya tunggalnya yang berusia lima tahun yang maut bersama tujuh ahli keluarga lain selepas kampung mereka dilanda tsunami.

Andi memberitahu, pada petang Jumaat lalu, dia dan isterinya sedang menikmati pisang goreng di hadapan rumah sambil melihat anaknya, Andi Rafi bersama dua sepupunya yang masih kecil bermain di pantai.

Rumah pasangan berkenaan terletak di Kampung Boya di Donggala, lokasi yang paling teruk terjejas akibat dilanda tsunami kerana terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat gempa.

“Secara tiba-tiba rumah kami bergoyang dan belum sempat kami melarikan diri kediaman itu runtuh.

“Kira-kira setengah jam kemudian, tsunami datang dengan cepat lalu memusnahkan kampung kami hingga tiada satupun rumah yang tinggal,” katanya kepada ABC.

Ujarnya, dia kehilangan anaknya yang dibawa arus tsunami sebelum jasad kanak-kanak itu ditemui dua hari kemudian di sebuah masjid yang menjadi pusat pengumpulan mayat.

“Wajah anak saya hancur hingga saya tidak dapat mengenalinya. Hanya pakaiannya saya kenali.

“Saya sangat sedih. Hancur rasanya. Dia satu-satunya anakku. Dia masih lagi kecil,” rintihnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 7:17 PM