PEKERJA kereta api laju mengalihkan dahan yang runtuh akibat taufan. FOTO/AFP
AFP

TOKYO: Seorang maut, manakala puluhan lain cedera apabila Taufan Trami membadai Jepun petang semalam.

Kejadian itu turut menyebabkan sistem pengangkutan terjejas akibat tiupan angin kencang dan hujan lebat di kawasan yang sebelum ini sedia terkesan dengan beberapa insiden cuaca.

Lebih daripada 1,000 penerbangan terpaksa dibatalkan manakala perkhidmatan kereta api laju dan kereta api malam dihentikan buat sementara.

Agensi penyiaran rasmi melaporkan, seorang lelaki maut di kawasan Tottori di kepulauan Honshu manakala seorang lagi dikhuatiri hilang di selatan Kyushu.

Sekurang-kurangnya 84 orang mengalami kecederaan ringan akibat terkena pecahan kaca tingkap dan seorang wanita berusia 60-an dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan ke dalam longkang.

Selepas membadai bahagian luar Jepun termasuk Okinawa, taufan terbabit bergerak selatan Osaka, di bahagian barat negara kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan.

Pegawai kerajaan tempatan di pekan Shirahama, Yuji Ueno berkata, keadaan angin begitu kencang menyebabkan adalah mustahil untuk penduduk berada di luar.

“Kami melihat keadaan angin dan hujan begitu buruk. Saya berdiri di luar bangunan pejabat perbandaran pada waktu tengahari dan keadaan angin serta hujan begitu menakutkan,” kata Ueno.

Trami, dengan kekuatan angin pada 216 kilometer (km) sejam dan dijangka melanda hampir keseluruhan gugusan kepulauan menyebabkan cuaca buruk hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 10:08 AM