ANGGOTA pasukan penyelamat memberi rawatan kepada kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diserang jerung. FOTO EPA/RACQ CQ RESCUE
AFP

PIHAK berkuasa Australia membunuh dua jerung, selepas dua mangsa diserang di Terumbu Karang Besar, iaitu destinasi popular dalam kalangan pelancong.

Kedua-dua mangsa, termasuk perempuan berumur 12 tahun, masih dirawat di hospital selepas dibaham haiwan itu dalam kejadian berasingan di Kepulauan Whitsunday, Queensland, awal minggu ini.

Jurucakap Jabatan Perikanan Queensland berkata, alat khas digunakan untuk menangkap jerung berkenaan termasuk seekar berukuran 3.3 meter.

“Jerung sebesar ini memang amat berbahaya kepada manusia, namun tidak diketahui sama ada mereka yang menyerang dan mengakibatkan kecederaan dua mangsa itu, baru-baru ini.

“Bangkai jerung itu akan dibawa ke daratan untuk dimusnahkan,” katanya.

Beliau berkata, alat khas akan diletakkan di kawasan terbabit hingga minggu depan, bagi mengurangkan risiko kemalangan kepada pengunjung.

Stesen penyiaran ABC berkata, insiden serangan jerung jarang berlaku di Kepulauan Whitsundays yang terletak di tengah-tengah Terumbu Karang Besar berkenaan, dan kali terakhir ia dilaporkan berlaku kira-kira lapan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 2:55 PM