MEKA bergaduh dengan Setiausaha Akhbarnya. FOTO/AGENSI
AFP

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, memecat Menteri Kastam, Meka Whaitri, kerana dikatakan bergaduh dengan Setiausaha Akhbarnya, menteri kedua hilang jawatan dalam tempoh dua minggu.

Ardern tidak memberi maklumat lanjut apakah yang dilakukan oleh Whaitri ketika pergaduhan itu bulan lalu.

Beliau hanya berkata bahawa laporan dalaman terhadap perkara itu meyakinkannya untuk mengambil langkah itu.

“Berdasarkan konteks dan kesimpulan laporan itu, saya tidak lagi ada keyakinan terhadap Meka Whaitiri sebagai menteri pada masa ini,” katanya.

Laporan yang tidak disahkan berkata, Whaitri dituduh membuli selepas bergaduh secara fizikal dengan setiausaha akhbar terbabit yang baru saja bertugas untuknya.

Ardern yang mengambil alih kuasa selepas berlakunya ‘demam Jacinda’ lewat tahun lalu, menafikan bahawa pemecatan Whaitri petanda kerajaannya semakin tidak stabil.

Ini berikutan bekas Menteri Penerangan, Clare Curran, meletak jawatan awal bulan ini kerana menggunakan emel peribadi dalam urusan rasmi.

Curran dan Whaitri masih lagi anggota Parlimen, jadi blok politik Ardern masih mengekalkan majoriti tiga kerusinya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku ke atas mereka memperkuat pandangan bahawa populariti Ardern dibandingkan pada awal pentadbirannya sudah berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 4:58 PM