KEADAAN bas yang terbakar di atas lebuh raya antara Kashan dan Natanz. FOTO/AGENSI
AFP

TEHRAN: Sekurang-kurangnya 19 maut apabila sebuah bas bertembung dengan lori tangki minyak di tengah Iran, lapor stesen televisyen hari ini.

Pertembungan itu, yang berlaku kira-kira jam 11.15 malam waktu tempatan semalam, menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar di atas lebuh raya antara Kashan dan Natanz, lebih 200 kilometer ke selatan Tehran.

“Berdasarkan siasatan awal, lori tangki terbabas ke sisi, merempuh bas dan menyebabkan letupan dan kebakaran yang mengorbankan 19 penumpang di tempat kejadian,” kata komander polis trafik, Jeneral Mohammad-Hossein Hamidi.

Stesen televisyen menyiarkan rakaman pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran ketika kru kecemasan bergegas membawa mangsa yang cedera ke hospital berhampiran.

Iran mencatatkan antara kadar korban nahas jalan raya tertinggi di dunia, dengan pegawai Kementerian Kesihatan melaporkan kira-kira 16,300 kematian di Iran tahun ini yang berakhir Mac lalu dan 336,000 lagi cedera.

Antara punca utama adalah pemanduan cuai, rangkaian jalan raya tidak berkualiti, terutama di kawasan pedalaman, dan sebilangan besar kenderaan buatan tempatan dilengkapi teknologi ketinggalan disebabkan sekatan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 3:47 PM