Daging anjing mudah diperolehi di Hanoi. FOTO Agensi
AFP

HANOI: Pihak berkuasa Hanoi menggesa rakyat mengurangkan pengambilan daging anjing kerana makanan popular itu bukan sahaja menjejaskan imej bandar raya berkenaan malah meningkatkan risiko penyebaran penyakit anjing gila.

Hidangan daging anjing mudah diperoleh di kedai makan dan gerai di seluruh Hanoi.

Ia sering disaji sama ada dipanggang, dikukus atau direbus.

Daging anjing secara tradisinya dimakan bersama bir atau wain beras.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rakyat Hanoi semalam, mengeluarkan peringatan kepada penduduk supaya mengurangkan pengambilan daging anjing bagi mengawal penularan penyakit anjing gila dan penyakit bawaan haiwan lain.

Pada masa sama, jawatankuasa itu menggesa rakyat negara itu menghentikan pengambilan daging kucing yang disenaraikan sebagai ‘harimau kecil’ dalam menu hidangan di Vietnam.

Walaupun, hidangan berkenaan kurang popular berbanding daging anjing tetapi sering disajikan di kawasan luar bandar.

“Kesemua haiwan ini selalu dibunuh dengan kejam dan kerajaan berharap ia dapat ditamatkan secara beransur-ansur.

“Aktiviti penjualan, pembunuhan dan penggunaan daging anjing serta kucing dalam hidangan mewujudkan reaksi negatif dalam kalangan pelancong dan ekspatriat yang tinggal di Hanoi,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Ketika ini, kira-kira 493,000 anjing dan kucing berada di dalam bandar raya ini, sebahagian besarnya sebagai binatang peliharaan, manakala 1,000 kedai menjual daging haiwan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 9:41 PM