SEEKOR ular yang dijadikan menu tradisi di Vietnam. FOTO Agensi
AFP

YÊN BÁI: Dengan daging yang disajikan dalam pelbagai bentuk hidangan dan darah yang ditambah ke dalam wain beras, ular semakin menjadi makanan memuaskan dan berkhasiat di Vietnam.

Ditangkap dalam hutan di utara negara itu, daging ular secara tradisi dipercayai membantu menghilangkan panas badan, melegakan sakit kepala dan memudahkan penghadaman.

Restoran akan mengukus atau menggoreng daging reptilia itu dengan serai dan cili dan menghidangkan ia dengan wain beras yang dicampur darah haiwan berkenaan, kata chef Dinh Tien Dung, yang bekerja di restoran di wilayah Yen Bai di barat laut Hanoi.

Sambil memegang kepala ular dengan sebelah tangan, Dinh Tien Dung mengelar bahagian badan berhampiran kepala dengan pisau dan memerah darah keluar, menampungnya dengan secawan wain beras.

“Kami menggunakan setiap bahagian ular kecuali kepala dan kulit,” kata chef berusia 32 tahun itu.

Penduduk percaya cuma lelaki berusia lebih 50 tahun boleh meminum wain ular, kerana lelaki muda berkemungkinan mengalami sakit belakang atau mati pucuk.

Selain daging, pelbagai manfaat diperoleh dengan memakannya haiwan itu, kata penangkap ular Dang Quoc Khanh, 35, yang sudah menangkap reptilia berkenaan sejak remaja.

“Daging ular adalah makanan yang amat berkhasiat. Ia lazat, baik untuk kesihatan dan baik untuk tulang,” katanya.

Namun pakar hidupan liar, Ioana Dungler, daripada pertubuhan Four Paws International, berkata membunuh ular liar dan mengganggu ekosistem hutan tidak perlu kerana pengeluaraan daging antarabangsa sudah mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 8:12 PM