POLIS mengejar kereta putih lelaki itu atas landasan pesawat. - Twitter / DavidPeste
Agensi

Lyon (Perancis): Polis Perancis menahan seorang lelaki susulan aksi kejar-mengejar di landasan lapangan terbang Lyon di tenggara Perancis yang turut melihat suspek meninggalkan keretanya untuk melarikan diri, kata pihak berkuasa tempatan.

Lelaki terbabit sebelum itu merempuh pintu kaca di terminal lapangan terbang berkenaan sebelum memandu keretanya ke atas landasan, lapor AFP.

Menurut Daily Mail, drama kejar-mengejar bermula di lebuh raya berhampiran apabila pemandu Mercedes berkenaan memandu menentang arus dan enggan berhenti.

Dia kemudian merempuh penghadang di sebuah lapangan terbang kecil, Lyon-Bron sebelum menghala ke lapangan terbang utama, Lyon Saint Exupery, 20 kilometer dari situ.

Tiada kecederaan dilaporkan, namun semua penerbangan keluar dan masuk ke lapangan terbang Lyon Saint-Exupery itu tergendala.

Euronews memetik laporan Radio Télé Luxembourg berkata, tembakan turut dilepaskan di tempat kejadian.

Sumber polis berkata, motif lelaki itu masih belum diketahui.

Video amatur yang disebarkan di media sosial menunjukkan kereta itu dikejar beberapa kenderaan polis di atas landasan kereta api.

Pemandu terbabit kemudian meninggalkan keretanya dan berlari melepasi beberapa kereta sebelum berjaya ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 9:34 AM