ANGGOTA penyelamat mencari mangsa terperangkap dalam sebuah rumah yang rosak akibat dilanda tanah runtuh berpunca daripada gempa bumi di Atsuma, Hokkaido, Jepun. - Reuters
Agensi

Tokyo: Jumlah korban gempa bumi di Pulau Hokaido meningkat kepada 18 orang ketika anggota penyelamat menggunakan jentera berat mengalih runtuhan dan anjing untuk mengesan mangsa yang mungkin terselamat.

Menurut AFP, kira-kira 22 penduduk masih hilang di perkampungan Atsuma, utara pulau itu yang paling teruk terjejas akibat tanah runtuh selepas gempa bumi 6.6 magnitud yang berlaku kelmarin.

Kerosakan teruk stesen janakuasa arang batu di pulau itu menyebabkan kira-kira 1.6 juta isi rumah penduduk terputus bekalan elektrik.

Menteri industri, Hiroshige Seko, berkata jumlah itu akan dikurangkan kepada 550,000 isi rumah hari ini.

“Kira-kira seminggu diperlukan sebelum stesen janakuasa itu dapat membekalkan elektrik sepenuhnya. Buat sementara, kerajaan menghantar generator bergerak ke lokasi penting terutama hospital,” katanya.

Gempa bumi itu bencana kedua menimpa Jepun minggu ini, selepas taufan Jebi melanda Osaka Ahad lalu, menyebabkan 11 terbunuh.

Reuters melaporkan, sebahagian operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka, sudah dibuka manakala lapangan terbang utama Hokkaido, New Chitose membuat persiapan untuk meneruskan penerbangan sekitar semalam.

Operasi kereta api laju juga disambung semalam namun banyak kilang tidak beroperasi berikutan bekalan elektrik terputus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 4:00 AM