SEJUMLAH 1,758,722 jemaah haji asing, 1,001,783 daripadanya sudah pulang sehingga jam 4 petang 6 September, 19 hari selepas kemuncak musim haji. FOTO/AGENSI
Agensi

JEDDAH: Lebih sejuta jemaah sudah meninggalkan negara pentadbiran diraja itu selepas selesai menunaikan ibadat haji, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.

Ketua Direktorat Pasport dipetik laman berita Arab News berkata, daripada sejumlah 1,758,722 jemaah haji asing, 1,001,783 daripadanya sudah pulang sehingga jam 4 petang 6 September, 19 hari selepas kemuncak musim haji.

Hari Arafah yang jatuh pada 19 Ogos lalu, dianggap kemuncak ibadat haji. Lebih 2.3 juta jemaah beribadat sepanjang hari di pinggir Makkah dalam cuaca panas terik.

Raja Arab Saudi, Raja Salman memuji kelancaran pengurusan haji musim ini, yang membolehkan jemaah ‘menjalankan ibadat dengan selesa, selamat dan dalam suasana tenang.’

Raja Salman dan Putera Mahkota Arab Saudi juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri Putera Abdul Aziz Saud kerana berjaya melaksanakan rancangan pengurusan jemaah.

Raja Salman berkata, beliau berdoa supaya Allah memakbulkan doa jemaah haji serta selamat pulang ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 9:39 PM