SEORANG penumpang wanita berang selepas tidak dapat menggunakan tandas. FOTO/NBC Washington
Agensi

Washington: Penumpang yang menaiki pesawat ke Hawaii terkejut apabila diberitahu mereka perlu membuang air kecil dalam botol serta beg plastik kerana tandas kapal terbang berkenaan tersumbat.

Menurut Daily Mail, pesawat itu membawa 187 penumpang dari Phoenix ke Kona, Hawaii.

Rakaman video menunjukkan perbualan antara seorang penumpang wanita dengan pramugari penerbangan American Airlines memberitahunya tandas tidak dapat digunakan.

Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu didengar bertanya: “Apa? Saya perlu membuang air dalam beg?”

Pramugari berkenaan memaklumkan semua tandas tidak boleh digunakan kerana sudah melimpah.

“Memang, agak teruk. Lelaki terpaksa menggunakan botol,” katanya.

Sementara itu, American Airlines berkata semua tandas pesawat pada mulanya boleh digunakan, tetapi masalah bermula selepas seseorang membuang lampin ke dalam satu jamban.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 7:42 PM