MASAO Matsumoto (kiri) berusia 108 tahun dan isterinya, Miyako, 100. FOTO Agensi
Reuters

TAKAMATSU: Memang benar ‘bersabar’ adalah kunci yang akan membantu rumah tangga bertahan lama.

Ini disuarakan seorang wanita di Jepun, satu negara di mana ramai penduduknya hidup hingga mencapai umur 100 tahun ke atas.

Masao Matsumoto berusia 108 tahun dan isterinya, Miyako, 100, adalah suami isteri tertua yang masih hidup dengan kombinasi jangka hayat 208 tahun.

Rekod sebagai pasangan tertua itu disahkan oleh Buku Rekod Dunia Guinness. Mereka berkahwin sejak Oktober 1937.

“Saya rasa gembira. Semuanya kerana kesabaran saya, sebenarnya,” kata Miyako sambil ketawa ketika bergambar bersama suami dan anggota keluarga lain di kediaman tempat mereka tinggal.

“Saya sangat bersyukur dan amat terharu,” katanya lagi.

Pasangan berkenaan tidak sempat mengadakan majlis perkahwinan rasmi kerana Jepun terbabit dalam kancah perang apabila Masao berada di negara asing sebagai askar.

“Mereka berada dalam fasa terakhir kehidupan. Mereka rasa tentunya satu penghormatan kerana menerima anugerah (pasangan tertua). Saya gembira jika mereka terus menjalani kehidupan dengan aman,” kata anak perempuan pasangan itu, Hiromi.

Rekod pasangan tertua mengambil kira kombinasi tahun dipegang pasangan Norway Karl dan Gurdren Dolven, iaitu 210 tahun, satu bulan dan 34 hari apabila Gurdren meninggal dunia pada 2004, menurut Buku Rekod Dunia Guinness.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 6:34 PM