WA Lone (kiri) dan Kyaw Soe Oo (kanan) di luar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun. - EPA
AFP

Yangon: Dua wartawan Reuters dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, semalam, selepas didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi Myanmar ketika membuat laporan krisis etnik Rohingya.

Kes berkenaan menimbulkan bantahan pelbagai pihak kerana dianggap serangan terhadap kebebasan pihak media.

Hakim mahkamah daerah di utara Yangon, Ye Lwin, berkata, Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, melanggar Akta Rahsia Rasmi ketika mengumpul dan memperoleh dokumen rahsia.

“Kedua-dua defendan didapati melanggar seksyen 3.1.C, Akta Rahsia Rasmi dan berikutan itu mereka dihukum penjara tujuh tahun.

“Namun, memandangkan kedua-dua defendan sudah ditahan sejak 12 Disember lalu, mahkamah mengambil kira tempoh berkenaan,” kata Ye Lwin ketika membacakan keputusan penghakimannya.

Terdahulu, Wa Lone, dan Kyaw Soe Oo memberitahu mahkamah, dua anggota polis menyerahkan beberapa dokumen kepada mereka di sebuah restoran di utara Yangon, sebelum penahanan mereka pada 12 Disember lalu.

Bagaimanapun, seorang saksi polis memaklumkan, ia adalah helah untuk memerangkap kedua-dua wartawan itu.

Sementara itu, pengkritik menganggap hukuman penjara terhadap dua wartawan agensi berita Reuters itu memusnahkan reputasi pemenang hadiah keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi, sebagai penasihat kerajaan Myanmar yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Pengkritik memberi pandangan itu selepas Suu Kyi dianggap gagal mempertahankan wartawan terbabit termasuk membantah penindasan etnik Rohingya.

Suu Kyi yang mempertahankan kebebasan media ketika perjuangannya menentang junta tentera, sering mendapat sokongan media asing.

Ketika menjalani tahanan dalam rumah, wartawan asing yang membawa mesejnya kepada dunia luar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 9:21 AM