PAUWELS (kiri) ketika menemu ramah pengurus Anderlecht Herman Van Holsbeeck. FOTO/AFP
AFP

BRUSSELS: Seorang pengacara TV bola sepak terkenal Belgium didakwa selepas terbabit dengan rompakan bersenjata di bandar satelit Brussels, kata pendakwa semalam.

Stephane Pauwels, yang pernah mengendalikan program untuk televisyen Belgium dan Perancis, ditangkap susulan satu siasatan besar polis.

Pauwels disyaki terbabit dalam satu rompakan menggunakan senjata api, pada waktu malam membabitkan sebuah geng, kata jurucakap pendakwa raya persekutuan, Wenke Roggen kepada AFP.

Rompakan berlaku di bandar mewah Lasne, selatan Brussels, pada 2017.

Menurut Roggen, setakat ini lima orang ditahan hasil siasatan sejak beberapa bulan lalu berhubung rompakan bersenjata, kecurian dan penyeludupan dadah.

Pauwels, 50 adalah pengacara saluran RTL-TVI Belgium, penyiar swasta terkemuka di negara ini. Dia turut dikenali di Perancis kerana mengacarakan beberapa program bola sepak di beberapa stesen.

Selain bola sepak, Pauwels turut mengendalikan program TV di RTL-TVI dikenali sebagai “Storms of Life”.

Syarikat induk RTL Belgium mengumumkan Pauwels kini digantung kerja serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 8:51 AM