PESERTA yang menyertai pesta di Mataelpino, Sepanyol berlari bagi mengelak dilanggar bola gergasi. - Agensi
Agensi

Madrid: Sebuah bandar di Sepanyol menggunakan bola gergasi seberat 250 kilogram bagi acara larian menggantikan lembu jantan ketika pesta tahunan kerana dianggap lebih selamat.

Pihak berkuasa bandar Mataelpino beranggapan penggunaan bola yang diperbuat daripada polistirena itu lebih selamat dan tidak mencederakan haiwan atau orang ramai.

Ini adalah kali kedua bandar itu menganjurkan larian bola atau dikenali sebagai ‘boloencierro’ bagi menggantikan larian lembu jantan.

Bagaimanapun, acara itu tetap bahaya apabila seorang lelaki berusia 29 tahun cedera parah di kepala akibat digilis bola berkenaan ketika menyertai pesta itu pada Ahad lalu.

Dalam satu rakaman video, bola itu dilihat melantun selepas melanggar pagar kayu sebelum menggilis mangsa.

Mangsa yang cedera parah di kepala diterbangkan menggunakan helikopter ke Hospital of La Paz.


SEBELUM ini acara itu menggunakan lembu jantan dan ramai yang cedera akibat ditanduk haiwan berkenaan. - Alamy

Seorang lagi lelaki turut cedera dalam acara itu.

Walaupun bola gergasi itu diperbuat daripada polistirena tetapi ia sangat besar dan berat hampir menyamai lembu jantan.

Peserta yang menyertai acara itu perlu berlari melalui lorong-lorong kecil dan mengelak dilanggar bola berkenaan sama seperti acara larian lembu.

Mataelpino kali pertama menggunakan bola berkenaan pada tahun lalu dan mendapat pujian atas usaha untuk melindungi haiwan serta peserta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:59 AM