TIADA tayar di bahagian hadapan pesawat Capital Airlines. FOTO/AGENSI
Reuters

BEIJING: Sebuah pesawat komersil China dengan 166 penumpang dan anak kapal melakukan pendaratan cemas dengan dua tayarnya hilang di lapangan terbang Shenzhen semalam, selepas juruterbang cuba mendarat di Macau dan mengisytiharkan ‘kecemasan’, kata pihak berkuasa penerbangan.

Penerbangan itu, yang berlepas dari Beijing dikendalikan Capital Airlines, kata Pentadbiran Penerbangan Sivil China (CAAC) dalam kenyataan di laman webnya.

Kru turut melaporkan masalah pada satu daripada enjin pesawat Airbus320 itu.

Capital Airlines, dalam kenyataan di Weibo menyatakan ia mengesyaki pesawat itu bertembung dengan angin kuat ketika cuba mendarat di Macau dan kru merumuskan tayarnya rosak.

Ia berkata, 157 penumpang dan sembilan anak kapal berada dalam pesawat itu.

Lapangan terbang di Shenzhen, kira-kira 40 kilometer ke timur laut Macau, menutup salah satu landasan selama tiga jam untuk tujuan pendaratan cemas itu.

CAAC berkata, lima penumpang dilaporkan mengalami ketidakselesaan fizikal ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 8:47 AM