AFP

POLIS Sepanyol hari ini merampas 67 kilogram kokain yang ditemui dalam berpuluh-puluh biji nanas di pasar besar sayur dan buah-buahan di Madrid.

Buah-buahan ‘berperisa’ dadah itu ditemui di pasar Mercamadrid dalam kontena berisi nenas dari pelabuhan Setubal, Portugal.

Ia dihantar ke pelabuhan itu oleh kapal Costa Rica sebelum dibawa dengan lori ke ibu kota Sepanyol, menurut kenyataan polis.

Setiap biji nanas itu diletak silinder mampat di bahagian tengahnya berisi 800 hingga 1,000 gram kokain dan diselaputi dengan lilin bagi menyekat baunya daripada dikesan, kata pihak berkuasa.

Polis menahan tujuh orang sebagai sebahagian operasi keselamatan iaitu tiga di Madrid dan empat lagi di Barcelona. Mereka disyaki memainkan peranan tertentu dalam penyeludupan kokain itu.


DUA nenas mengandungi kokain antara yang dirampas polis Sepanyol. FOTO EPA/Polis Nasional Sepanyol

Sepanyol yang mempunyai hubungah sejarah dan bahasa dengan Amerika Selatan adalah pintu masuk utama ke Eropah bagi kokain yang kebanyakannya dari Colombia.

Penyeludup sering menggunakan pelbagai kaedah yang kreatif bagi mengelak daripada dikesan untuk menyeludup dadah masuk ke Sepanyol.

Sejak beberapa tahun lalu, anggota polis mengesan kokain dalam implan payu dara, rambut palsu, kusyen kerusi roda, dalam balutan plaster kaki seorang lelaki yang patah selain dalam set hidangan 42 keping pinggan dan mangkuk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 8:37 PM