GAMBAR diambil dari siaran berita menunjukkan kereta membawa keranda McCain diiringi polis dari rumahnya. FOTO CNN
Agensi

Washington: Dalam pada Senator John McCain semakin nazak akibat kanser otak, dia memutuskan beberapa bulan lalu bahawa dia tidak mahu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menghadiri majlis pengebumiannya.

Sebaliknya, keluarganya mengemukakan permintaan kepada Rumah Putih pada Mei lalu supaya Naib Presiden Mike Pence yang menghadiri majlis di National Cathedral, Washington, lapor New York Times.

Walaupun majlis pengebumian masih dalam peringkat perancangan susulan kematian McCain, kelmarin, bekas Presiden George W Bush serta Barack Obama dijangka memberi ucapan, lapor NBC News.

McCain dan Trump terkenal tidak suka satu sama lain, malah perkara itu langsung tidak disembunyikan, lapor AFP.

McCain lantang mengecam tindakan Trump menyelar pendatang Mexico sebagai penjenayah dan ‘perogol,’ ketika taikun itu mengumumkan niat menjadi calon presiden Republikan pada Jun 2015.

Pada masa sama, Trump sendiri pernah memperlekehkan pengalaman McCain ketika bertempur dalam Perang Vietnam.

Trump tidak menghadiri majlis pengebumian bekas Wanita Pertama, Barbara Bush, awal tahun ini untuk mengelak gangguan dan sebagai tanda hormat kepada keluarga Bush, kata pegawai di Rumah Putih, April lalu.

Acara itu bagaimanapun dihadiri isterinya Melania.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 12:00 PM